Tuesday, March 21, 2017

"Aku Yakin Inilah Yang Dinamakan Rezeki Anak"


Aku berkahwin dengan si suami pada november 2015. Waktu tu , aku bergelar seorang pelajar di UniKL. Tinggal lagi dua semester aku akan menamatkan pelajaran aku iaitu pada june 2016. Bahagia saat disahkan mengandung pada januari 2016. Tiada sebarang alahan yang aku alami.

Aku dan suami masih menumpang menyewa di rumah kakak. Disebabkan hanya suami yang bekerja. Dan aku masih student. Kami tak mampu untuk menyewa sendirian di kl lagi.

May 2016, ujian mendatangi. Mama aku sakit. Sakit yang tiada puncanya. Mama aku ada di kampung. Mama aku seorang yang pemurah. Kekadang aku pelik , di mana dia ada duit. sedangkan dia cuma seorang suri rumah sahaja. Malah dia yang sering membantu kami adik beradik dari segi kewangan.

June 2016, aku akhirnya berjaya menghabiskan pengajian aku. Aku membuat keputusan untuk terus pulang ke kampung. Waktu tu usia kandungan aku sudah mencecah 6 bulan. Perut sudah kelihatan. Jalan pun seakan penguin.

Aku meminta suami untuk menghantar aku pulang. Dan tika itu , mama aku sudah berada di HDU. Dia tidak mengenali diri dia. Doktor cakap, kuman dah sampai ke otak dia. Tapi dia akan pulih. Aku sampai sahja, terus melawat dia. Dan dia membuka matanya sambil berkata, “adik dah balik dah.” Sejak itu aku nekad aku akan ada dengannya. Sebab dia masih mengenali aku.

Biarlah aku dan suami berjauhan. Aku masih kuat dengan kandungan aku. Setiap hari aku pujuk anak aku, “baby kena kuat. Barulah mama akan kuat.” Bohonglah kalau aku katakan tak rindu pada suami, tak risau pada suami, tak rasa bersalahpada suami.

Bila tengok juadah berbuka puasa suami (dihantar melalui whatsapp), kasihan dan rasa bersalah bersarang kat hati, tapi apakan daya . Ini pilihan aku.

July 2016, akhirnya suami membuat keputusan untuk berhenti kerja. Dia ingin membantu abang ipar aku untuk menguruskan perniagaannya. Tapi tetap jua di kl. Surat resign di hantar pada company lamanya. 2 bulan notis. 

Aku masih di kampung. Setia menemani mama. Keadaan mama beransur pulih. Kekadang aku akan pergi ke KL menaiki ets untuk bertemu suami. Dan kekadang suami akan balik ke kampung jika cuti.

August 2016, aku sayang sangat pada mama. Tapi Allah lagi sayangkan mama. mama dijemput illahi. Saat mata mama terpejam rapat, aku berada di sisinya. Sungguh, ianya satu nikmat yang paling besar yang pernah aku hadapi. Tiada air mata mengalir di pipi aku. TIADA. Anak aku masih dalam kandungan. Dia sangat menguatkan aku.

September 2016, aku selamat melahirkan puteri sulung aku di kampung. Suami setia menemani aku. Suami akhirnya membuat keputusan untuk tidak pulang ke KL lagi. Katanya siapa nak uruskan baby. 

Tambahan pula aku melahirkan puteri kami secara czer. Suami aku tamat bekerja pada bulan ini. Makanya bermakna, gajinya juga tamat pada bulan ini. Aku akhirnya membuat keputusan akan meneruskan impian arwah mama. Untuk membuka perniagaan taska pada januari 2017 nanti.

Bermula october,november, disember 2016. Ekonomi kami diuji. Kereta tidak boleh bayar. Insurans tak boleh nak bayar. Nak shopping barang rumah(aku tinggal di rumah arwah mama) pun tiada duit. Arwah mama pula dah tiada, pada siapa aku nak minta pertolongan lagi.

Tapi aku terfikir aku masih ada duit simpanan. Sejak dari itu, duit simpanan yang aku simpan di ambil sedikit demi sedikit. Aku ada 1 tabiat yang memang diajar oleh arwah mama.”menyorok”. Mama akan sorok aka simpan duit dia dalam tabung haji punya akaun. Sebab? Tabung haji tiada kad atm. Agak susah untuk keluarkan.

Tapi lama kelamaan duit simpanan aku habis. Ekonomi masih tak ok. Suami tak bekerja. Tiada lagi pelajar yang mendaftar taska. Sampaikan aku dan suami menjadi seorang yang tidak tahu malu.

“Meminta”. Hinggakan aku pernah terfikir untuk meminjam pada orang. Aku meminta pertolongan kakak kedua aku untuk membantu aku membayar pinjaman kereta. Ada duit dia akan tolong, ekonomi dia pun tidak lah sehebat mereka yang lain.

Januari 2017, perniagaan taska bermula. Hanya 3 orang sahaja yang mendaftar.

Alhamdulillah, aku dan suami dah ada duit bulanan. Tapi masih belum cukup untuk membayar itu dan ini. Suami cuba menjual ayam uncle bob. Modal dipinjam dari ibu mertua aku. Tapi. Untung hanya lepas untuk membeli pampers anak sahaja.

Aku cuba untuk redha. Positive kan hati. Mesti ada sesuatu di sebalik sesuatu.

Februari 2017, perniagaan taska aku bertambah . Kini sudah mempunyai 5 orang pelajar. Tapi ianya masih belum cukup. Dan suami akhirnya di minta oleh kakak kedua ku untuk menguruskan perniagaan cafe makanan. Alhamdulillah, perniagaan cafe berjalan lancar. Untungnya masih tidak kelihatan. Tapi duit pinjaman kereta sudah mampu dibayar. Duit pada kakak juga dibayar secara ansuran.

March 2017, perniagaan taska aku bertambah lagi. Menjadi 7 orang pelajar. Aku kini mampu membantu suami membayar insurans kami bertiga, membeli keperluan anak.

April 2017, perniagaan taska aku akan bertambah lagi menjadi 11 orang pelajar. Dalam aku tak sedar, aku diuji kewangan ekonomi. Tapi di sebalik setiap ujian tu, sebenarnya Allah sudah pun memberi aku kemewahan,

Anak aku sihat, tiada sakit. Bekalan susu yang banyak untuk anak aku, aku tak payah membeli susu formula yang kini meningkat naik harganya. Anak aku tak banyak ragam.

Aku yakin, doa mama masih ada untuk kami bertiga . Dan sekali pun mama tak pernah sempat berjumpa dengan puteri aku di dunia ni, aku yakin , dia sentiasa ada melihat kami bertiga. Dan , keadaan ekonomi itu hanya sekadar ujian untuk kematangan kami. 

Alhamdulillah aku berjaya menepis godaan syaitan dalam hasutan ,”meminjam-meminjam.” Dan aku yakin, ini lah yang dinamakan rezeki anak! Terima kasih Allah, ambik mama dan berikan puteri buat aku! Buat si peminjam, dahulukan lah hutang . Baru rezeki lebih mencurah.


.:.

No comments:

Post a Comment