Sunday, March 5, 2017

Suami, Isteri Dan Insan Ketiga


Seringkali kita mendengar pelbagai permasalahan rumahtangga bermula daripada isu kecil sehinggalah kepada isu yang melibatkan perceraian dan kebanyakannya pula disebabkan oleh orang ketiga.

Kisah yang ingin saya kongsikan ini juga berkisar tentang pihak ketiga dalam sebuah perhubungan yang sedia ada tetapi ia berbeza daripada yang kisah-kisah viral yang disajikan kepada kita di media-media sosial.

Kisahnya bermula dengan seorang wanita, janda, yang ‘berkenan’ (berminat) dengan seorang lelaki (saya namakan dia Jamal) yang sudah pun berumahtangga dan telah dikurniakan dua cahaya mata. 

Kehadiran insan ketiga ini sememangnya menjadi mimpi ngeri bagi kebanyakan wanita yang ‘memiliki’ suami. Saya juga menyangka perkara yang sama, bahawa perkahwinan yang sekian lama dibina bakal musnah oleh insan ketiga ini. Skeptikal yang menghantui masyarakat kita, iya, saya juga begitu.

Si Jamal, tanpa segan menyatakan hasrat hati untuk ‘menambah cawangan’ kepada isterinya. Kemudian dia ajak ketiga-tiga mereka bertemu, supaya saling kenal mengenali. Saya mengagak, “memang gaduh besar la ni dorang…” 

Hah! Isteri pertamanya siap bergurau lagi, “lakiku dipinang janda (laki-suami)”. Hati saya bermonolog, masalahnya orang ketiga ni seorang janda, sudah punya 3 orang anak, usia pun ada sedikit tinggi daripada si Jamal yang mahu menambah ni.

Setelah bertemunya isteri pertama dan insan ketiga ini, berlaku sesuatu yang diluar jangka. Dengan rela si isteri memberi ‘lampu hijau’ kepada si Jamal. Hah! Ajaib! Kesan daripada hasrat yang ingin direalisasikan ini pula bukan kepalang. Kedua orang tua si Jamal menghalaunya dari rumah manakala keluarga si isteri pula menjalankan agenda untuk memisahkan si Jamal dengan isterinya.

Dahsyat sungguh pukulan yang mereka terima. Akibat kemarahan dan kebencian, ada pihak yang sanggup ‘menjatuhkan’ keluarga sendiri. Begitulah manusia…

Saya juga tertanya-tanya, apa yang membuatkan si isteri begitu rela menerima hasrat si Jamal, dan si Jamal pula dengan penuh rasa tanggungjawab mengambil keputusan berat yang memungkinkannya berada dalam keadaan sukar pada masa akan datang.

Demi keadilan dan mengelakkan prasangka, saya tanyakan sendiri kepada si Jamal. Iya, dia jelaskan segalanya. Insan ketiga tersebut seorang janda anak tiga yang bukan sahaja ditinggalkan oleh suaminya malah dipinggirkan oleh keluarganya sendiri. 

Pertemuan antara mereka, tidak saya pasti bagaimana namun, setelah bekas suami dapat tahu insan ketiga ini berhasrat untuk berkahwin dengan si Jamal, dia persoalkan “kenapa mesti laki orang?”.

Persoalan bodoh seperti itu saya rasa macam mau ludah mukanya. Dia tinggalkan isterinya tetapi masih sibuk dengan hal bekas isterinya. Apa perasaan mencintai suami orang itu dipaksa? Bongok!

Beralih pula kepada si isteri, yang bagi saya, tidak ramai yang memiliki kekuatan sepertinya. Sejak pertemuan itu, dia dan insan ketiga ini sudah seperti adik-beradik, yang semacam sudah kenal bertahun lamanya. 

Antara sebab dia menerima insan ketiga itu adalah katanya dia tidak mahu melihat insan ketiga tersebut terus dalam keadaan terbiar, sebagaimana yang difikirkan oleh si Jamal juga.

Akal saya sebagai seorang lelaki yang seawaras ini pun masih menyimpan prasangka kepada insan ketiga ini, apatah lagi bagi golongan wanita. Mesti dalam kepala akan bermain persoalan berupa,

“ala, dia berpura-pura jak tu. nanti belakang hari, dia kenakan pula isteri pertama.” atau “mesti insan ketiga tu main guna-guna”.

Tetapi tidak bagi si isteri. Iya, bagi saya, dia seorang yang istimewa, berJIWA BESAR, sanggup berkongsi sesuatu yang orang lain tidak mampu melakukannya! Insan yang dihadirkan ke tengah-tengah masyarakat untuk menunjukkan bahawa tidak semua wanita itu sama daripada segi sikap ‘overprotective’.

Dan si Jamal pula, saya boleh katakan dia seorang yang berani. Berterus terang. Tidak bermain di belakang sebagaimana yang sering dilakukan oleh lelaki lain. Mau menambah, tapi penakut! Sembunyi-sembunyi lepas tu bila sudah kedapatan (ketahuan), keributan dalam rumah tangga.

Si Jamal dan isterinya bersepakat untuk mengharungi dugaan ini bersama kerana cinta tulus yang disulami kepercayaan, hanya maut yang akan memisahkannya.

Akhir kata, saya hanya mengharapkan kebaikan buat mereka. Hasrat yang murni sebegitu perlu diteruskan sekalipun maharnya berupa pengorbanan yang tidak semua orang mampu menanggungnya.


.:.

No comments:

Post a Comment