Sunday, March 5, 2017

Niat Nak Jual Telefon Akhirnya Kena Curi


Individu yang menjual barang atas talian diingatkan supaya sangat berhati-hati dengan pihak yang mengambil kesempatan memperdaya dan mencuri.

Perkongsian melalui Facebook yang tersebar di media sosial baru-baru ini, seorang wanita menceritakan bagaimana iPhone 7 miliknya dirembat oleh seorang lelaki kononnya berminat untuk membeli.

Mangsa, Jazira Salwa Sehak menyifatkan pengalaman itu sebagai “pengajaran terbaik 2017” dan menasihati orang ramai supaya lebih berhati-hati dengan penyangak yang mengambil kesempatan.

Dia mengiklankan telefon pintar dalam satu forum popular atas talian dan kemudiannya menerima panggilan daripada seseorang yang berminat untuk membelinya.

“Dia menghubungi saya pada waktu malam dan berkata beliau mahu bertemu malam itu juga.

“Dia kata akan memasukkan duit ke dalam akaun dan saya percayakannya, tetapi saya menyesal kemudiannya,” kata Jazira.

Jazira dan suaminya bertemu lelaki itu di sebuah restoran di Gombak.

“Dia kelihatan normal dan bercerita tentang dirinya dan isteri yang bekerja di Menara DBKL sebagai juruteknik sambilan,” katanya.

Mereka bersembang lama sambil menguji telefon pintar tersebut.

“Lelaki itu memasukkan kad SIMnya ke dalamnya telefon pintar saya dan kemudian berkata dia tidak membawa wang untuk bayar kerana dia tertinggal beg duit.”

Lelaki itu kemudiannya menelefon seseorang kelihatan seperti abangnya menggunakan telefon pintar yang sama, meminta bawakan wang tunai.

“Segala berjalan seperti biasa sehingga abangnya tiba dengan sebuah Vios hitam dan membunyikan hon,” kata Jazira.

“Lelaki itu kemudian menerima panggilan daripada abangnya dan dia berjalan menuju ke kereta itu dan suami saya mengekorinya dari belakang.”

Ketika berjalan dengan telefon itu, tiba-tiba lelaki itu terus masuk ke dalam kereta dan mereka memecut.

“Suami saya cuba mengejar kereta itu tetapi tidak berjaya,” kata Jazira sambil menambah suaminya sempat menyalin nombor plat kereta tersebut dan mereka telah membuat laporan polis mengenai kejadian itu.

Dia kemudiannya memuat naik video dan screenshot pencuri itu di Facebooknya.

Jazira menasihati orang ramai supaya berhati-hati kerana ada penyangak yang berani mencuri walaupun di tempat yang selamat dan ramai orang.


.:.

No comments:

Post a Comment