Sunday, March 12, 2017

Dua Warga Malaysia Maut Kemalangan Motosikal Di Singapura


Dua penunggang motosikal warga Malaysia terbunuh dalam kemalangan membabitkan sembilan motosikal dan sebuah van petang Sabtu di BKE arah ke Woodlands selepas keluar Lebuhraya Seletar (SLE).

Dalam kemalangan yang berlaku di Lebuhraya Bukit Timah (BKE) itu, dua rakyat Malaysia berbangsa Cina berusia 34 dan 50 tahun maut di tempat kejadian. Bagaimanapun, identiti dua mangsa masih belum diketahui.

Menurut laporan Bernama, enam lagi penunggang motosikal yang mengalami kecederaan di bahagian kepala dan badan juga adalah rakyat Malaysia dan mereka dihantar ke Hospital Khoo Teck Puat.

"Seorang lagi penunggang motosikal tidak mengalami kecederaan. Pemandu van yang berusia 25 tahun adalah warga Singapura," kata sumber.

Terdahulu, Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Singapura masih menunggu perkembangan terkini daripada Pasukan Polis Singapura (SPF).

Dalam status terbaru di Facebook, SPF berkata pemandu van itu ditahan bagi membantu siasatan, dan menambah lesen memandu lelaki itu akan digantung serta-merta.

Pada 3.49 petang, SPF berkata ia dimaklumkan mengenai kemalangan di BKE arah ke Woodlands selepas keluar Lebuhraya Seletar (SLE).


.:.

No comments:

Post a Comment