Monday, March 6, 2017

"Bila Dah Jadi Ibu Bapa Baru Aku Faham Kenapa Orang Tua Aku Selalu Bergaduh"


Aku tak tahu berapa kali sudah mak dan ayah aku bergaduh. Aku kadang-kadang tak berapa mengerti apakah pergaduhan mereka itu serius atau biasa-biasa saja. Intonasi suara ayahku dalam keadaan normal ataupun marah sentiasa kuat. Jika dulu, aku pernah sampai menangis, murung tak nak belajar setiap kali mereka bergaduh.

Tapi bila mereka berjauhan, mereka saling merindui. Ayah akan call mama, tanya khabar. Atau ada waktu mama yang akan call ayah, untuk cerita segala yang berlaku di rumah. Nampak manis sangat. Silap-silap boleh kena kencing manis.

Topik pergaduhan mereka selalunya anak-anak. Mama terlalu runsing tentang anak-anaknya, maka akhirnya mama selalu akan melakukan sesuatu yang kau rasa tak patut atau tak logik di fikiran kau sebagai manusia yang tak pernah bergelar ibu. 

Mama pernah bebel pada cikgu kelas aku sebab salah bagi hadiah nombor 2 kepada aku, sedangkan aku dapat nombor 1. Mama pernah dengan tegasnya mengatakan adikku tidak bersalah dan tidak terlibat dengan geng-geng nakal yang merokok di sekolah. Nasib baik, cikgu semuanya memahami kerana bagi mereka, sememangnya cinta dan kasih sayang ibu untuk anaknya sangatlah agung.

Sedangkan ayah, dia jarang bersetuju dengan apa jua keputusan yang mama lakukan. Ayah setuju bulat-bulat bila cikgu kata yang adikku terlibat dengan budak-budak nakal merokok. Sebab katanya cikgu tidak akan menuduh sebarangan dan dia juga adalah seorang insan bergelar guru. Boleh dikatakan hampir setiap perbincangan, ayah akan membantah apa sahaja yang mama cadangkan tentang anak-anaknya.

Abang berasa bahawa ayah tidak pernah peduli tentang dia sebagai anak. Aku sebagai anak kedua jarang memahami perbuatan mama dan ayah kerana pada pandangan mata hati aku, aku sebagai anak tengah sering kali diabaikan dari segala aspek termasuk perasaan. 

Adik lelakiku pula semakin lama, semakin mengikuti perangai ayah dan membantah segala apa sahaja nasihat dan cadangan mama. Adik perempuanku pula tidak pernah peduli apa-apa kerana sebagai anak bongsu, kasih sayang mama dan ayah terlalu banyak tercurah padanya.

Kini, di saat aku sudah dewasa, di saat aku tidak lagi menafsir segala tingkah laku dan tutur kata mama dan ayah sesuka hatiku, aku mula memahami kedua-duanya. Sebenarnya mereka berdua langsung tidak salah dengan cara-cara mereka yang tersendiri.

Mama dengan tindak lakunya yang aneh dan tidak logik itu sebenarnya,itu adalah cara untuk dia menyelesaikan masalah anak-anaknya sebagai seorang ibu. Sehingga malu, segan dan takut seakan sifar dalam diri dia. Sekarang aku memahami bahawa kasih sayang ibu itu luar biasa sehingga membuatkan dia sentiasa melakukan sesuatu perkara yang luar biasa.

Ayah pula, sebagai lelaki egonya pasti ada. Dia bukan tidak peduli, dia bukan tidak sayang, dia bukan melepaskan segala tanggungjawab seorang ayah itu pada bahu mama semata-mata. Tapi bagi ayah, anak itu harus belajar menyelesaikan masalahnya sendiri sebab masalah itulah yang akan mematangkan seseorang. 

Anak itu juga harus berdikari kerana dia takkan selamanya ada di samping mereka untuk menemani setiap liku-liku kehidupan. Dan di satu sudut hatinya yang ego, dia mengharapkan perhatian dan sapaan kasih sayang anak-anaknya yang semakin lama semakin jauh darinya.

Benarlah kata mama, “seorang anak itu takkan pernah memahami perasaan ibu dan ayahnya sehingga suatu saat dia sendiri menjadi seorang ibu atau ayah.”


.:.

No comments:

Post a Comment