Tuesday, April 4, 2017

10 Orang Maut Dalam Letupan Bom Di Stesen Kereta Api Rusia


Sekurang-kurangnya 10 orang terbunuh manakala berpuluh-puluh lagi dipercayai cedera dalam insiden letupan membabitkan dua bahagian gerabak kereta api di stesen metro Sennaya Ploshchad yang bertempat di St. Petersburg, Rusia pada Isnin.

Memetik laporan Reuters, bom berkenaan diletupkan di dalam kereta api yang melalui stesen dan dipercayai salah satu letupan itu berpunca daripada bom buatan sendiri.

Dua letupan di lokasi berbeza termasuk di stesen Sennaya Ploshchad, mengakibatkan sekurang-kurangnya 50 orang termasuk kanak-kanak cedera. Letupan pertama dikatakan berlaku di Sennaya Ploshchad diikuti letupan kedua di stesen Sadovaya pada pukul 2.50 petang waktu tempatan.

Orang ramai dilihat bertempiaran lari ketika kawasan berkenaan dipenuhi asap selepas letupan berlaku. Ekoran insiden ini, pihak berkuasa St. Petersburg menutup semua stesen metro di bandar itu buat sementara waktu.

Presiden Rusia, Vladimir Putin yang kebetulan berada di bandar ini untuk bertemu pemimpin Belarus, Alexander Lukashenko memberitahu, punca letupan masih belum dapat dikenal pasti dan siasatan lanjut sedang dijalankan ketika ini.

Beliau tidak menolak semua kemungkinan termasuk insiden tersebut dilakukan oleh kumpulan pengganas.

Sementara itu, wakil Reuters yang berada di tempat kejadian memaklumkan, terdapat lapan buah ambulans berhampiran stesen tersebut.

Rakaman video juga menunjukkan beberapa mangsa yang cedera terbaring di atas platform dengan sebahagian daripada mereka dirawat oleh pasukan perkhidmatan kecemasan.


.:.

No comments:

Post a Comment