Sunday, March 5, 2017

Umum Kematian Kepada Pewaris Merupakan Perkara Paling Sukar Buat Seorang Doktor


Seorang lelaki lingkungan umur 50-an dibawa ke Jabatan Kecemasan kerana tak sedarkan diri. Pesakit segera ditolak ke zon merah kerana di kaunter saringan, didapati pesakit tidak bernafas dan tiada degupan jantung.

CPR dimulakan oleh pasukan zon merah. Sementara itu, aku mendapatkan maklumat daripada individu yang mengiringi pesakit ke hospital. Sudisiasat dilakukan di luar zon merah.

“Suami saya. Dia tiba-tiba tak sedarkan diri.” kata seorang wanita 30-an. Mukanya cemas, nafasnya kencang.

“Dia sedang buat apa sebelum dia tak sedarkan diri? Ada dia mengadu apa-apa?” soalku lagi.

“Tak buat apa-apa. Duduk-duduk sahaja. Tiba-tiba dia mengadu sakit dada, selepas itu terus rebah.” jelasnya.

“Dia ada masalah jantung tak?” satu lagi soalan aku tanya.

“Tak tahu. Saya cuma tahu dia ada darah tinggi. Suami saya OK tak, doktor?” kerisauan jelas terpampang dimukanya.

“Keadaan dia genting. Kami sedang cuba selamatkan dia. Ada apa-apa maklumat lain yang puan nak beritahu? Maklumat yang akan bantu kami berikan rawatan optimum pada dia.” ujarku.

“Err… orang ada masalah jantung boleh kena serangan jantung kerana melakukan seks tak?” soal wanita itu.

“Kebarangkalian itu, ada. Kenapa puan tanya?” aku curiga.

“Sebenarnya selepas kami berasmara, dia mengadu sakit dada. Kemudian, dia terus rebah.” wanita itu jelaskan perkara sebenar.

Seusai itu, aku masuk semula ke zon merah dan lihat prosedur CPR pesakit itu baharu sahaja dihentikan. 30 minit telah berlalu, dan tiada apa lagi yang kami boleh lakukan untuk menyelamatkan pesakit. Maka, aku panggil semula waris untuk beritahu perkhabaran duka itu.

Kali ini 2 orang muncul. Wanita tadi dan seorang gadis remaja. Saya pelawa mereka masuk ke bilik bereavement(belasungkawa). Perkhabaran seperti ini perlu dilakukan di tempat tertutup untuk menjaga aib waris. Reaksi kepada kematian ahli keluarga, kita tak boleh jangka. Ada yang sampai berguling-guling atas lantai. Sungguh!

“Adik ni siapa? Maksud saya, apa hubungan dengan pesakit?” tanya saya pada remaja berkenaan.

“Anak. Sekejap ya, doktor. Saya nak panggil emak saya. Dia di luar.” balasnya.

Aku keliru.

“Ini bukan mak awak?” tanyaku padanya sambil menuding ibu jari pada wanita yang mendakwa dirinya isteri pesakit.

“Eh, bukan! Emak saya di luar. Tengah telefon saudara mara. Saya tak kenal wanita ni siapa.” katanya seraya melihat wanita tadi atas dan bawah. Gadis itu kemudian meninggalkan bilik itu untuk memanggil emaknya.

Dipendekkan cerita. Wanita yang mengiringi pesakit ke hospital itu sebenarnya kekasih pesakit. Situasi itu memang sangat canggung. Setelah emak remaja itu masuk, aku jalankan tanggungjawab aku, iaitu memberitahu tentang kematian pesakit.

Tidaklah aku beritahu keluarga pesakit yang suami/bapa mereka mati selepas berasmara dengan kekasihnya. Walaupun ahli keluarga dah syak sesuatu dan bertanya, itu bukan urusan aku. Itu tanggungjawab kekasih pesakit untuk beritahu perkara sebenar.

Lagipun, punca kematian kami tak tahu. Jenazah pesakit akan dibedah siasat untuk kenal pasti punca kematian. Namun, aku syak disebabkan Angina d’Amour — itu nama glamor serangan jantung ketika berasmara. Ia juga dikenali sebagai coital angina.

Apa berlaku di antara waris dan kekasih pesakit selepas itu, aku tak pasti. Mungkin bergusti. Paling tidak pun, bercakaran. Itu aku serahkan pada abang-abang seragam biru uruskan.

Oh ya! Lupa nak beritahu. Kau tahu tak? Dalam sebuah kajian yang diterbitkan di Korea, kebanyakan kes kematian semasa atau selepas seks berlaku kepada mereka yang berasmara bukan dengan isteri/suami. Malah ada yang mati ketika bersama pelacur. Peh!

Maka, jauhi zina dan tak usahlah curang!


.:.

No comments:

Post a Comment