Monday, March 20, 2017

Pencuri Larikan Beg Tangan Atas Sejadah Ketika Solat


Bagi pencuri tegar, mencuri perlu dilakukan tidak kira di mana, sekalipun mangsa sedang solat.

Terbaru seorang wanita menjadi sasaran pencuri sebegini bila beg tangan wanita itu yang diletakkan di hadapan sejadah ketika solat di Masjid An-Nur, Guar Perahu di sini dilarikan seorang lelaki muda.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah ACP Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata hari ini, mangsa, 54, seorang pegawai teknologi maklumat Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya kerugian lebih RM800.

Begnya mengandungi wang tunai RM350, telefon bimbit, kad pengenalan, kad bank serta lesen memandu, kata beliau.

Menurut Nik Ros Azhan, wanita itu baru saja balik dari menghadiri kenduri di Pokok Sena dan singgah di masjid itu untuk menunaikan solat Maghrib.

“Wanita itu meletakkan beg tangannya berwarna merah di hadapan sejadah dan selepas selesai solat menyedari begnya tiada lagi di situ,” kata Nik Ros Azhan.

Beliau berkata semakan menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) masjid itu mendapati seorang lelaki yang memakai helmet bervisor menunggu di tepi pintu masjid.

Ketika jemaah sedang sujud suspek meluru masuk serta melarikan beg pengadu.

Nik Ros Azhan berkata usaha mengesan lelaki yang dipercayai berusia lingkungan 20-an itu giat dijalankan.

Polis juga akan mendapatkan rakaman CCTV di sekitar kawasan berkenaan bagi membantu siasatan kes berkenaan.


.:.

No comments:

Post a Comment