Sunday, March 5, 2017

“Kami Berjaya Kerana Ibu. Tanpa Ibu, Kami Tak Jadi Macam Sekarang”


Assalamualaikum semua. Pertama sekali, aku nak kenalkan diri aku sebagai Ina (bukan nama sebenar) dan berumur 25 tahun. Aku merupakan anak sulung dan kakak kepada 2 orang adik. Aku dibesarkan dalam keluarga yang sederhana oleh seorang wanita, bagi aku, wanita yang paling kuat yang pernah aku jumpa dalam hidup iaitu Ibu. 

Kepada Ibu lah kami menagih kasih. Dengan bantuan arwah nenek dan makcik-makcik sebelah Ibu, alhamdulillah kami membesar dengan baik walaupun kadang-kadang dalam hidup kami ni banyak dugaan tanpa kehadiran seorang insan bernama “Ayah” dalam hidup kami.

Sejak di bangku sekolah lagi, aku akan rasa down dan akan cuba mengelak/tunduk apabila kawan-kawan aku berbicara mengenai ayah mereka. Apabila mereka sedar aku diam seribu bahasa, ada yang bertanya :

“Ayah ko keje ape?”

“Aku tak pernah pun nampak ayah ko. Dia ada kat mana?” (soalan ini acap dituju kepada aku ketika Majlis Anugerah/Berbuka Puasa asrama aku)

Aku ada Ayah. Ya. Dia masih hidup. Tetapi, dia tak pernah menghadirkan diri dalam hidup kami sebagai “Ayah”. Fizikal mahupun mental. Hanya berbin/bintikan dia di dalam IC. Aku tak tahu dia kat mana, aku tak tahu dia kerja apa.

Masa tu, aku mampu menipu mengatakan Ayah bekerja di KL (kami sekeluarga tinggal di salah sebuah negeri di Pantai Timur) dan tidak mampu menghadiri majlis aku dan adik-adik aku. Ada jugak yang bertanya, 

“Mak ayah ko okay ke duk jauh-jauh? Kesiannya”, dan aku hanya mampu senyum kelat. Mereka tak tahu, Ibu dan Ayah sudah bercerai sejak aku di sekolah rendah lagi. Ibu Ayah tak pernah bagitahu kami mengenai penceraian mereka, cuma kami adik beradik sendiri faham. 

Perkara ni Ibu bagitahu kami semasa aku berada di Tingkatan 5 selepas keputusan SPM. Ayah? Dia cuma menghilang tanpa memberi nafkah kepada kami dan tidak tanya khabar kami. Mahupun Ayah dan keluarganya seolah-olah membuang kami di sini. Dahlah buang, lepas tu tinggalkan kami dalam ketakutan sebab dia berhutang RM30k dengan kawan-kawan dia. HMM!

Yang aku tahu ketika keluarga kami retak, Nenek (ibu kepada Ayah) desak Ibu untuk memberikan kereta Ibu kepada dia untuk kegunaan adik-beradik Ayah. Sedangkan kereta itu Ibu bayar sepenuhnya, bukan Ayah. 

Dia (Nenek) ada jugak minta dengan Ibu untuk jaga salah seorang daripada anak-anak, tapi Ibu tak bagi sebab Ibu cakap anak-anak adalah sumber kekuatan Ibu ketika keluarga kami retak seribu. Sejak dari itu, aku dan adik-adik tak suka dengan Nenek dan adik-adik Ayah kerana memikirkan mereka sangat mementingkan diri. Satu lagi sebab, mereka selalu cakap kami “hodoh” dan “hitam’ (walhal kami gelap kerana sunburn), sooooo memang kami tak suka mereka.

Hari berganti hari, kami bertiga membesar. Masing-masing belajar bersungguh-sungguh supaya di kemudian hari kami dapat membalas segala kesusahan dan keperitan yang Ibu alami semasa membesarkan kami. 

Alhamdulillah kami tiga beradik telah membuatkan Ibu menangis kegembiraan dengan kejayaan kami semasa SPM dan seterusnya di menara gading. Dan tika itulah, Ayah dan keluarganya (ibu dan adik-adiknya) muncul dalam hidup kami, dan “claim” kami darah daging mereka. Dan di saat itulah mereka menekankan betapa bagusnya Ayah kerana kejayaan kami. Respon kami? “Kami berjaya kerana Ibu. Tanpa Ibu, kami tak jadi macam sekarang” (lebih kurang macam ni la)

Keluarga sebelah Ayah sering menyangka Ayah selalu beri duit belanja bulanan kepada kami kerana mereka sendiri selalu dapat duit setiap bulan dari Ayah. Perkahwinan, hutang, etc adik-adik Ayah semua Ayah tanggung. Tapi kami? Anak-anak dia? Maaflah. Setiap kali meminta ada je alasan dia. 

Pernah sekali, semasa majlis perkahwinan Makcik aku sebelah Ayah, aku terdengar perbualan keluarga Ayah bahawa Ayah sponsor majlis kahwin tu. Mana tak nya, aku yang tak pernah merasai nafkah dari Ayah rasa sedih dan terkejut. Selama ni semua yuran dan belanja Ibu yang bayarkan (sejak aku lahir). Selepas habis majlis, aku call Ibu dan bercerita. Dan saat itu lah, aku dan Ibu ambil keputusan untuk bercerita kepada keluarga Ayah.

Aku ingatkan selepas tu dah settle la masalah ni. Aku ingat lagi selepas Ayah balik dari umrah, Ayah cuba untuk jalankan tanggungjawab dia sebagai seorang ayah selepas sekian lamanya. 

Selepas tu datang laaaa seorang wanita yang mengaku dirinya isteri baru Ayah. Hmm dan dia la sebab Ayah dan Ibu bercerai dulu. Senang cerita, mak tiri aku yang aku panggil dia sebagai Cik Ros (bukan nama sebenar). Semua orang sangka mak tiri baik kan? Mak tiri aku ni dingin dan tak suka kami 3 beradik. Duit Ayah aku, dia lah yang pegang, sampai Ayah tak mampu nak bagi nafkah pada kami lagi.

Umur kami 3 beradik dah 20-an. Jadi kami sendiri ambil langkah untuk dekatkan kembali apa yang dijauhkan. Kami duk fikirkan usia Ayah yang hampir mencecah separuh abad tu. Kami datang dan bermalam di rumah Ayah. Tapi tak sangka, Cik Ros boleh naik angin tengok kami berbaik-baik dengan Ayah, sampai dia bergaduh dengan Ayah. 

Yang paling sedih, kalau korang nak tahu, sebab Cik Ros ni, Ayah minta kami tak payah datang dah rumah dia sebab Cik Ros tak suka kami 3 beradik. Katanya, Ayah sayangkan perkahwinan kedua dia. Berbelas tahun kami mencari kasih Ayah, tapi last-last kena macam ni. Kecewa. Sampai aku rasa nak pergi Jabatan Pendaftaran tukar nama aku berbintikan Abdullah!

Bukan tu je kes nya. Adik bongsu aku, Lily (bukan nama sebenar), ada emosi terganggu gara-gara dibesarkan tanpa kasih sayang Ayah. Masa Ayah tinggalkan kami, dia baru berumur 6 tahun. 

Apabila Ayah muncul dalam hidup dia, Ayah memberikan janji-janji manis kat dia dan akhirnya dikecewakan oleh Ayah kerana Ayah memungkiri janji dia pada adik. Aku pernah jugak dikecewakan Ayah dengan menjanjikan duit untuk bayar yuran pengajian U aku sampai aku kena berhenti belajar sebab taknak susahkan Ibu, tapi aku sangat tak sangka Ayah buat benda sama pada adik-adik aku. 

Selepas daripada tu, memang kami dah serik. Dan kami tekad, Ibu adalah Ibu dan Ayah kami. Kami cari Ayah sebab kami nak tolong dia laksanakan tanggungjawab dia sebagai Ayah, tapi itulah, mungkin, dia memang nak menjawab di akhirat sana kot.

Aku nak kahwin dah tahun ni. Cuma aku agak “paranoid” dalam mencari bakal suami dan bakal ayah kepada anak-anak aku nanti. Aku dan Ibu jadi tersangat lah cerewet. Mungkin sebab pengalaman aku sendiri dibesarkan tanpa Ayah di sisi. Dan aku tak nak anak-anak aku nanti rasa apa yang aku dah rasa. Sakit weyh. Sakit. Kecewa. Marah. Sedih. dan semua emosi yang menghala kepada mental breakdown la aku dan adik-adik dah rasa.

Buat adik-adik ku, sama-sama kita bertabah la ya. Ibu kan selalu ada untuk kita. Cheer up!


.:.

No comments:

Post a Comment