Saturday, March 4, 2017

Kalau Sayang Anak, Didiklah Untuk Jaga Solat.


Saya nak kongsi pengalaman saya mendidik Zaim bersolat. Semoga Allah lindungi niat saya untuk berkongsi.

Kejut anak-anak kecil tu bangun solat. Jangan tunggu umurnya 16 tahun baru nak latih, memang payah nanti. Masa tu nak marah-marah akan jadikan anak-anak benci solat, sebab akan associate solat dengan bebelan ibu.

Zaim telah saya latih solat setiap hari seawal umur 6 tahun. Solat Subuh seawal usia 7 tahun setiap hari, walaupun waktu cuti, cuma cuti mungkin lambat sikit.

Walau tengah main syok habis dengan kawan atau sepupu, berpeluh, saya akan panggil untuk solat. Ajak solat bersama, kalau ada ayahnya, solatlah berjemaah, kalau tidak, dengan ibu saja, tapi jangan biar solat seorang. Jangan marah-marah, ajak solat walaupun solatnya belum berapa betul.

Alhamdulillah, sekarang sudah 13 tahun, Zaim suka solat berjemaah, terutama di masjid. Sekarang, dia sendiri pesan sebelum tidur, mama kejut saya (supaya dapat) solat subuh di masjid, setiap hari, walaupun ketika weekend, Alhamdulillah. Dah tak susah. Dia yang menunggu waktu solat dan ajak ayahnya ke masjid untuk Isya' berjemaah.

Sekarang hampir setiap waktu, mereka berdua bersolat di masjid, cuma Maghrib sahaja di rumah. Oh, ayah-ayah kenalah juga rajin bersolat, dan bersolat jemaah dengan anak-anak. Dan solatlah awal waktu, itu lebih baik.

Kalau mak ayah tak jaga solat, anak-anak lebih susah lagi. Jadi sebelum marah-marah anak, mak ayah kena tarbiah diri sendiri supaya jaga solat tau. Lagi satu, baca doa. Saya amalkan doa – "Rabbij 'alni muqimmassola" sampai habis setiap waktu lepas solat, Insyaallah.

Dan lagi satu doa ialah "Ya Allah, jadikanlah anak aku Zaim, salah seorang pemuda yang akan mendapat perlindungan di bawah arasyMu di akhirat nanti", sebab ada 7 golongan pemuda yang akan mendapat perlindungan Allah di Padang Mahsyar nanti, dan salah seorang adalah anak muda yang cintakan masjid.

Ibu-ibu dan ayah-ayah, anak kita adalah talian hayat kita dalam kubur nanti, mulalah bina hubungan itu dari sekarang, waktu masih mudah dilentur. Ini jihad para ibu dan ayah. Bersabarlah dalam mendidik anak-anak, jangan dimarahi, tapi didik dengan lembut, nyatakan kenapa perlu bersolat, semasa keadaan santai.

Sekian dari saya yang kesian pada anak-anak yang masih tidur tanpa bersolat Subuh sebab ibu bapa kesian nak kejut. Kalau sayang anak, didiklah untuk menjaga solat.


.:.

No comments:

Post a Comment