Friday, February 3, 2017

Seimbangkan Elemen 'Yes' dan 'No' Dalam Mendidik Anak-Anak.


Saya tinggal di sebuah kampung dekat kawasan pantai. Sebagai seorang anak kampung, keseronokan bermain dengan kawan-kawan membolehkan kami menjelajah ke seluruh kampung, termasuklah ke kawasan pantai. Setiap kali cuti hujung minggu Abah akan bawa saya ke Pantai Cahaya Bulan untuk mandi. Nak dijadikan cerita, berkali-kali pergi pun tidak mengapa. Seronok sokmo. Abah pula ikutkan sahaja kemahuan si anak lelaki tunggalnya ini untuk ke pantai, walaupun setiap minggu, tanpa jemu.

Cuma ada satu pesanan yang selalu hinggap ke telinga saya. Iaitu Abah berpesan, "Kalau nak ke pantai, pergi dengan Abah. JANGAN sesekali pergi ke pantai seorang diri atau bersama rakan-rakan. Bahaya!"

Seingat saya ketika berusia 9 tahun (Darjah 3), saya menipu Arwah Nenek. Selepas tamat sesi sekolah dan kelas Fardhu Ain petang itu, saya beritahu arwah Nenek saya nak berbasikal keliling kampung dengan kawan-kawan. Tetapi sebenarnya saya bersama dengan kawan-kawan nak ke pantai. 

Niat saya memang tak mahu mandi pantai sebab selalu ingat pesanan Abah supaya tidak ke pantai tanpa Abah. Niat saya ke pantai tanpa mandi-manda. Tetapi alkisahnya apabila seorang kanak-kanak yang sukakan pantai dan sudah sampai pun di pantai, saya pun TER-terjun jugalah membasahkan diri di air pantai dengan kawan-kawan.

Nak dijadikan cerita petang itu Abah balik awal dari kerja. Lebih awal daripada biasa. Naluri kebapaan kot, tahu anaknya sedang melakukan kesalahan. Abah tiba di rumah, tengok-tengok saya tiada di rumah. Nenek menyebut nama seorang kawan rapat saya, rumahnya dekat pantai. Dengan motorsikal Honda Cup lama Abah meronda kawasan kampung, mencari di mana saya berada. Abah singgah di rumah kawan saya itu, ibunya memberitahu anaknya (kawan saya) ke pantai. 

Dari kejauhan tepi pantai Abah memanggil nama saya dengan kuat. Jeritannya memecahkan gelak-tawa kegembiraan kami yang sedang mandi-manda. Saya cepat-cepat naik ke darat, membetul-betulkan pakaian. 

Perasaan saya? Takut bukan kepalang. Hati berdebar macam nak luruh jantung. Saya tahu Abah saya ni garangnya macam mana kalau Abah marah.

Sementelah saya berdiri di depan Abah, Abah memukul bontot saya. Aduh! Sakitnya! Rasa macam patah tulang pinggul kiri saya. Sakit!!!

Saya menangis. Itulah kali pertama Abah pukul saya. Sakit rasa bontot, sakit lagi hati sebab dipukul, sebab dimalukan depan kawan-kawan. Tapi, saya mengaku dan saya tahu saya telah buat sesuatu yang salah.

"Kali ini Abah pesan, JANGAN MENIPU!" pekik Abah ke telinga saya.

"Abah sudah pesan, JANGAN PERGI PANTAI TANPA ABAH! Bahaya!" jerit Abah, betul-betul ke telinga saya. 

"Ayat Abah yang mana satu yang Abe (panggilan keluarga kepada saya) tak faham?"

Bertalu-talu makian Abah. Suaranya kuat. Kami semua tergamam.

Depan-depan orang Abah marah anak tunggalnya yang dijaga dengan penuh kasih sayang ini. Tak pernah-pernah Abah marah saya. Kawan-kawan semua tengok. Terdiam. Tercengang. Kaku.

Saya menangis.

Abah mengheret tangan saya, diangkatnya saya duduk di motorsikal. Punyalah Abah marah, Abah terus bawa saya pulang sedang selipar dan basikal saya dibiarkan di situ. Tak diambil pun. 

Kemarahan Abah, merahnya muka Abah, kuatnya suara Abah, saya ingat sampai hari ini. Dan hakikatnya, itulah kali akhir saya menipu Nenek, Abah, Umi dan keluarga. Serik.

Saya terpanggil berkongsi kisah ini setelah membaca post viral "Jangan berkata Jangan atau Tidak atau No kepada si anak" yang dikongsi lebih 14ribu pengguna Facebook ini: http://ift.tt/2jJdQVa

Saya tidak punya masalah dengan post berkenaan. Baguslah, mempromosikan ke-positif-an dalam mendidik anak-anak. 

Namun, saya terkilan kerana rujukannya lebih kepada pendidikan Barat sedangkan kita punya Tarbiatul Aulad Fil Islam (Pendidikan Anak-anak Dalam Islam). 

Memberikan kata-kata positif kepada anak-anak TIDAK bermaksud kita harus meninggalkan segala ayat 'Jangan' kepada anak-anak.

Sebaiknya, SEIMBANGKAN kedua-duanya.

Lihat pada kata-kata Allah SWT dalam al-Qur'an:

Suruh: 
“Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sholat; dan sesungguhnya sholat itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk Tiada daya dan upaya kecuali atas pertolongan Allah semata” (Al-Baqarah : 45)

Jangan:
“Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah pula kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yg paling tinggi derajatnya, jika kamu orang-orang yang beriman” (Al-Imran : 139)

Lihat pada kata-kata Rasulullah SAW dalam hadis dan sunnah:

Suruh:
"Sesungguhnya marah itu dari syaitan. Syaitan itu dijadikan daripada api,apabila kamu marah, maka hendaklah dia mengambil wuduk."(HR Abu Daud) 

Jangan:
"Dari Abu Hurairah R.A, Sesungguhnya seseorang bertanya kepada Rasulullah SAW: 'Ya Rasulullah, nasihatilah aku.' Baginda bersabda, 'Jangan engkau marah'. (La taghdab)
Dia menanyakan hal itu berkali-kali. Maka beliau bersabda: 'Janganlah engkau marah." (Hadith Riwayat Muslim)

Lihat pula pada kata-kata Luqmanul Hakim dalam Surah Luqman apabila mendidik anak-anaknya, sejak kecil sehinggalah besar:

Jangan:
"Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, semasa ia memberi nasihat kepadanya:" Wahai anak kesayanganku, janganlah engkau mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman yang besar (13). 

Suruh: 
Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibubapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan) (14).

Suruh: 
"Wahai anak kesayanganku, dirikanlah sembahyang, dan suruhlah berbuat kebaikan, serta laranglah daripada melakukan perbuatan yang mungkar, dan bersabarlah atas segala bala bencana yang menimpamu. Sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat melakukannya (17).

Jangan:
"Dan janganlah engkau memalingkan mukamu (kerana memandang rendah) kepada manusia, dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong; sesungguhnya Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong takbur, lagi membanggakan diri (18)."

Dalam kehidupan manusia, PUJIAN DAN AMARAN perlu SEIMBANG. 

Sebagaimana Allah SWT dan Rasulullah SAW banyak bercerita tentang indahnya syurga, sebagaimana itulah juga Allah SWT dan Rasulullah SAW banyak memberi amaran peritnya azab neraka kepada manusia.

Dalam pendidikan anak-anak, tidak kira zaman dahulu termasuk juga zaman kini, kita tidak perlu sentiasa menggunakan ayat-ayat positif semata-mata langsung meninggalkan kata-kata jangan kepada anak-anak. Sebaiknya, seimbangkan kedua-duanya kerana seorang manusia memerlukan kedua-dua elemen (positif dan negatif, suruh dan jangan) dalam kehidupannya supaya dia tahu mana yang BAIK, mana yang BURUK.

Sebagaimana satu contoh yang diberi, "Don't go there (Jangan pergi sana)" perlu ditukar kepada "Stay close with Mama (Ke mari dekat Mama)" - Jika setiap kali anak-anak mahu merayau di shopping mall kita kata "Stay close to Mama" anak-anak kecil mahupun besar TIDAK akan faham apa makna bahaya apabila kita berkata "Jangan pergi jauh" atau "Jangan merayau-rayau kita takut ada bahaya orang culik kamu" atau "Kamu tidak dibenarkan pergi ke tempat lain kerana Mama nak beli barang di sini."

Sejak kecil hinggalah ke besar, Umi (ibu saya) dan Ma (ibu mertua saya) selalu berpesan satu perkara sama kepada anak-anak, dalam dua cara/ayat/nada yang berbeza:

Suruh:
"Pastikan selalu solat, sebaik-baiknya solat di awal waktu dan solatlah secara berjamaah."

Jangan:
"Jangan tinggalkan solat!"

Secara psikologi dan fitrah, serta keperluan seorang anak, tidak kira anak kecil atau anak besar, mereka memerlukan kedua-dua elemen untuk pembesaran mereka. 

Bukan ayat-ayat 'suruh' semata-mata.

Bukan ayat-ayat 'jangan' semata-mata.

Tetapi, kedua-duanya.

Seimbang.

Balance.

Barulah lengkap.

Suruh:
"Mencuri adalah berdosa!"

Jangan:
"Jangan mencuri, nanti kamu berdosa!"

Sebagai seorang ayah, saya menggunakan kedua-dua elemen ini untuk mendidik anak-anak. 

Sebagai contoh, apabila ketiga-tiga anak saya menangis serentak pada satu masa, saya akan beritahu:

"Along ST, duduk diam ye. Anak solehah tak nangis jerit-jerit. Jangan menangis." 
"Angah IY, Angah baring di riba Papa ye. Jangan nangis-nangis, Papa nak tidurkan Adik Baby ni."
"Adik Baby HE, minum susu ye. Papa dodoikan Adik Baby ni. Jangan nangis-nangis."

Saya seimbangkan "Suruh" dan "Jangan" dalam apa jua situasi.

Kata Umi, saya diajar tentang solat sejak saya kecil lagi. Masa saya berusia 1 tahun dan sudah mula pandai meniru aksi Umi dan Abah solat, Umi dan Abah berpesan:

Suruh:
Kita perlu solat, barulah Allah SWt sayang dan boleh masuk syurga.

Jangan:
Kita TIDAK boleh tinggalkan solat, nanti Allah SWT marah, nanti masuk neraka.

Termasuklah ketika saya nak terbang ke Australia untuk melanjutkan pelajaran, Umi berpesan, "Pastikan solat dijaga kerana itulah kekuatan kita sebagai orang Islam. Ingat, jangan lupa solat!" sambil air matanya mengalir membasahi pipi.

Abah pula berpesan, "Pastikan belajar elok-elok, rajin-rajin. Jangan malas-malas belajar, jangan belajar sambil lewa..."

Kata-kata positif+negatif dan suruh+jangan inilah yang melekat di jiwa saya dari kecil sampai besar dan menjadikan siapa saya hari ini.

Jadi rakan-rakan ibu bapa sekalian,

PELBAGAIKANLAH interaksi dengan anak-anak, SEIMBANGKANLAH cara komunikasi, emosi dan BERKREATIVITILAH dalam lenggok bahasa kepada anak-anak dalam pendidikan dan tarbiah anak-anak.

JANGANLAH membataskan kasih sayang kita kepada anak-anak (bercakap baik juga adalah satu bentuk nasihat, marah juga adalah satu bentuk nasihat) dan paling penting, JANGANLAH mengambil sumber Barat sebagai panduan utama dalam membesarkan anak-anak, sebaiknya ambillah panduan daripada al-Qur'an dan sunnah secara keseluruhan, bukan berdikit-dikit. 

DIDIKLAH ANAK DENGAN DIDIKAN ISLAM, BUKAN IKUT ACUAN BARAT SEMATA-MATA



.:.

No comments:

Post a Comment