Saturday, February 18, 2017

9 Tips Untuk Menjadi Ibu Bapa Cemerlang


Menjadi ibu bapa di zaman moden ini dan membesarkan anak-anak tidaklah semudah yang disangka. Sebagai ibubapa, kita semestinya tahu cara yang betul untuk mendidik anak-anak agar mereka menjadi insan cemerlang apabila sudah dewasa.

Mungkin kita kurang arif dan tidak tahu apakah yang harus dilakukan lagi selain memberi makan minum, pakaian dan juga pelajaran.

Tidak mengapa, perkongsian tips untuk menjadi ibubapa yang cemerlang dibawah ini sangat bagus untuk anda praktikkan. 


1. Namakan anak dengan nama baik – Dah jadi trend semasa, anak-anak diberi nama yang extravaganza. Tak salah, tapi biarlah ada makna yang baik. Dah namakan dengan nama yang elok, panggillah juga dengan nama penuhnya. Kalau Muhammad, jangan panggil mamat! 

2. Pelukan setiap hari – Pelukan/mendakap anak-anak penting. Memang terbukti boleh buat IQ dan EQ anak-anak lebih kuat dan positif. Mereka lebih rasa disayangi dan dihargai. Sebelum tidur dan bangun tidur. Peluklah anak-anak anda dengan penuh kasih sayang. 

3. Cara pandangan – Cara kita pandang anak-anak juga penting. Anak-anak ni suci bersih. Mereka tahu menilai setiap gaya pandangan kita. Pandanglah anak-anak dengan penuh belas dan pandangan kasih sayang. Moga-moga, apa yang tergambar dalam mata anak-anak ialah pandangan redup ibubapa yang menenangkan jiwa. Yang diingati dan dirindui setiap masa. 

4. Puji anak – Kita yang dewasa pun sukakan pujian, apatah lagi anak-anak. Anak-anak lebih mudah dipuji. Pujian berbentuk pelukan, kata-kata semangat, ciuman, hadiah dan lain-lain mampu membuatkan anak kita rasa dihargai dan diberi perhatian. Saya yakin, bukan hadiah mahal yang anak-anak pinta, cukup sekadar kita belikan mainan murah, pasti terpancar rasa gembira bila mereka menerimanya. 

5. Jangan terlampau berharap – Adakalanya kita mungkin sentiasa mengharap yang terbaik daripada anak-anak. Kita kena sedar dan berfikiran logik, anak-anak ada juga masanya tak konsisten dalam banyak hal. Sama macam kita juga. Teruskan mendidik anak-anak kita dengan penuh kesabaran. Memang perlukan kesabaran yang tinggi. InsyaAllah, berkat sabar ni akan membuahkan hasil yang manis. Kalau bukan di sini, insyaAllah di sana nanti. 

6. Bijak buat pilihan – Biasanya, kita tersilap buat keputusan. Contohnya, jika ada masalah di tempat kerja dan juga masalah keluarga, pilihlah untuk selesaikan masalah keluarga terlebih dahulu. Keluarga berhak berada dalam pilihan nombor satu kita. InsyaAllah, keluarga kita aman, kita kerja pun lebih bersemangat dan komited. 

7. Dengar cerita anak-anak – Sampai masanya, anak-anak memang suka bercerita itu dan ini. Belajarlah untuk menjadi pendengar yang setia. Banyak yang boleh kita selit untuk menjadikan anak kita bercakap dengan baik. Masa inilah untuk kita betulkan apa sahaja perkataan yang kurang elok yang ditutur anak-anak. Bagus juga bila kita dapat disiplinkan anak-anak tentang keutamaan bila bercakap. 

8. Sentiasa ada untuk anak – Menjadi pendengar yang setia. Anak-anak ni, memang macam-macam perangai. Anak sulung lain perangainya. Anak kedua lain perangainya. Kita ibubapa yang cemerlang harus sentiasa aa masa untuk anak-anak. Cari masa untuk dengar cerita anak walaupun hanya cerita dia main warna-warna di sekolah! 

9. Tunjuk cara untuk tenangkan diri – Kita kadang-kadang cepat kalut dan panik dalam menghadapi permasalahan. Kita harus sedar, anak-anak adalah peng’copy-paste’ terbaik yang ada dalam dunia. Setiap tindakan kita menjadi model untuk anak-anak. Maka, wajar sekali kita sendiri tunjukkan contoh terbaik untuk menghadapi tekanan dan masalah. 

Walau sesibuk mana pun kita, tanggungjawab mendidik anak-anak jangan sesekali diabaikan. Semoga bermanfaat


.:.

No comments:

Post a Comment