Saturday, December 31, 2016

Luangkan Masa Anda di Hujung Minggu Bersama Anak, Bukan Rakan-Rakan



Bagi memenuhi keperluan keluarga dan kos sara hidup yang kian meningkat, kebanyakan ibu bapa masa kini perlu bekerja. Kadangkala, kesibukan ibu dan ayah yang keluar bekerja setiap hari membuatkan mereka kekurangan masa untuk diluangkan bersama keluarga.

Apabila pulang ke rumah, masing-masing sibuk dengan urusan sendiri termasuklah melayani media sosial, sekali gus menyebabkan masa berkualiti bersama keluarga terutama anak terabai.

Bagi ibu bapa yang sibuk bekerja, mereka perlu bijak dan kreatif menyelesaikan semua tugasan di rumah dan meluangkan masa bersama anak agar ia tidak mengganggu keharmonian seisi keluarga.

Jangan jadikan tidak cukup masa sebagai alasan yang menghalang anda untuk bersama-sama keluarga kerana setiap orang diberikan 24 jam sehari untuk dimanfaatkan sebaik-baiknya.

Hujung minggu adalah waktu paling berharga untuk melakukan aktiviti sihat bersama-sama keluarga tidak kiralah di dalam mahupun di luar rumah.

Jika boleh, elakkan membuat tugasan kerja di pejabat atau rumah pada hujung minggu kerana peluang berharga bersama keluarga yang datang tidak mampu dikembalikan pada kemudian hari.

Buat jadual bagi menguruskan tugasan penting bagi mengelakkan ia mengganggu perjalanan aktiviti keluarga anda.

Aktiviti di bawah mungkin dapat membantu anda menghabiskan masa berkualiti bersama keluarga dalam suasana yang menyeronokkan dan memberi penuh makna kepada satu sama lain.

-Makan bersama

Ada setengah keluarga masih mengamalkan aktiviti makan bersama sebagai rutin harian mereka, namun tidak kurang juga yang sudah lama tidak berkesempatan meluangkan masa seperti itu.

Apa kata jadikan rutin makan bersama setiap hari sekurang-kurangnya waktu makan malam sebagai peraturan yang wajib buat seisi keluarga.

Semua ahli keluarga wajib ada dan makan bersama di meja makan. Bukan saja ibu bapa, malah anak juga pasti akan seronok apabila dapat makan bersama terutama bagi mereka yang jarang bersua walaupun tinggal dalam rumah yang sama.

Paling penting, letakkan telefon bimbit masing-masing jauh dari meja makan. Jangan benarkan sesiapa melayani gajet pintar mereka dalam tempoh ini kerana tumpuan perlu diberikan kepada perbualan keluarga, tidak kiralah apa pun topiknya.

-Bermain bersama-sama

Cuba tunaikan hasrat si kecil sekiranya dia mengajak ibu bapa untuk bermain bersama-sama. Tidak salah jika ayah melayan anak perempuan yang mengajak bermain masak-masak, yang pasti hubungan anda akan lebih erat.

Kerelaan ibu bapa bermain bersama anak akan memberi kesan yang mendalam kepada diri si kecil. Ini kerana mereka akan berasa kehadirannya sangat penting dalam kehidupan ibu bapa.

-Raikan majlis istimewa

Meraikan kegembiraan bersama orang tersayang tentu lebih bermakna. Misalnya, majlis sambutan hari jadi tidak kira sama ada meraikan majlis secara sederhana di rumah ataupun besar-besaran di luar.

Perkara yang lebih penting adalah dapat menghabiskan masa berkualiti pada tarikh istimewa anak bersama seisi keluarga.

-Beriadah bersama

Selain mengajar anak untuk mengamalkan gaya hidup sihat, aktiviti riadah seperti berbasikal, bermain bola dan berjoging dapat mengeratkan hubungan erat anda sekeluarga.

Keseronokan akan lebih dirasai apabila seisi keluarga dapat mengekalkan kesihatan sepanjang masa kesan daripada aktiviti riadah yang sihat. Selain itu, kesegaran udara yang diperoleh ketika melakukan aktiviti riadah juga membantu mengekalkan kesihatan emosi dan fizikal diri.

Pada masa inilah kadangkala anda boleh mengenali anak dengan lebih dekat. Biasanya anak akan lebih mudah bercerita ketika melakukan aktiviti santai.

-Baca buku bersama

Anak akan duduk diam sekiranya ibu atau bapa membacakan mereka buku cerita dalam gaya yang menarik. Selain dapat menanamkan minat membaca, mereka pasti sentiasa mengingati saat ibu dan ayah membacakan buku cerita sebagai waktu terindah pada zaman kanak-kanak.

Pada masa sama, ibu bapa juga dapat melihat perkembangan tumbesaran setiap anak tanpa mengharapkan taska atau pengasuh semata-mata.

.:.

No comments:

Post a Comment