Wednesday, December 28, 2016

Erti Kebahagiaan Sebenar


Tahun ini merupakan tahun kelapan perkahwinan saya. Sepanjang lapan tahun hidup bersama suami, saya tidak nafikan pelbagai onak dan ranjau terpaksa kami tempuhi. Kadang kala sedang kami asyik mengecap manisnya kebahagiaan, tiba-tiba saja terasa akan kepahitannya. Dalam kami ketawa, tiba-tiba saja terasa ada tangis sendunya. Pelbagai rencam.
Orang-orang dulu selalu kaitkan perkahwinan semacam sebuah kapal yang sedang berlayar. Perjalanannya jauh. Kadang-kadang laut tenang dan kadang kala bergelombang. Disebabkan ketidaktentuan ini, kebijaksanaan dari nakhoda dan anak kapal amat diperlukan. Suami yang menjadi nakhoda, isteri yang menjadi anak kapal perlu saling membantu dan bekerjasama untuk memastikan pelayaran menuju destinasi gemilang.
Teringat saya ketika mahu berkahwin dulu. Saya yang begitu idealis mengenai perkahwinan hanya menggambarkan yang indah-indah saja. Bagi saya, perkahwinan adalah satu destinasi. Saya telah sampai ke destinasi itu dan saya hanya perlu merasakan kebahagiaan abadi.
Namun ternyata perkahwinan bukan seperti yang saya gambarkan. Saya tidak nafi kan dua tiga bulan bersama, saya merasakan satu kejutan budaya. Walaupun tidak dinafikan suami yang dikahwini adalah pilihan sepenuh hati, namun perbezaan-perbezaan dan perselisihan-perselisihan pendapat dan tingkah laku ternyata begitu merengsakan. Ketika itulah terdapat lintasan-lintasan hati bahawa perkahwinan sebenarnya hanya menyakitkan dan melemaskan.
Kadang-kadang berendam juga air mata apabila kemahuan sendiri tidak dapat ditunaikan suami. Apalagi apabila tiba musim-musim perayaan. Kehendak untuk balik ke kampung sering tidak dapat dipenuhi disebabkan suami tidak mendapat cuti. Masa itulah terfi kir bebasnya hidup bujang, hendak ke mana saja bebas, lepas terbang.
Namun orang-orang yang berkahwin ini sememangnya perlu mempunyai keimanan kalau tidak pun kesabaran yang tinggi. Walaupun berkocak jugalah rumah tangga, namun pengenalan kepada agama, dosa pahala ternyata mampu menenangkannya kembali.
Kadang-kadang terfikir-fikir juga kalau dengan adik beradik yang hidup serumah sejak lahir pun kita masih berselisih faham, apalagilah dengan suami yang hanya beberapa tahun dikenali. Tentulah banyak perilaku dan tabiat yang perlu difahamkan dan diterima secara beransur-ansur dan seadanya.
Bagi saya, kesilapan yang dilakukan oleh kebanyakan kita dalam melayari alam rumah tangga ialah harapan yang terlalu tinggi terhadap suami. Kita mengharapkan suami sebagai `mutual companion’ – saling bersetuju, sentiasa memahami, tidak pernah berselisih faham, tempat mengadu segala-galanya. Cukup sempurna!.
Walhal suami kita tidak lebih hanyalah manusia biasa. Yang sering melakukan kesilapan, yang kadang-kadang `angin’nya baik, kadang-kadang tidak. Yang mungkin tidak berharta, yang mungkin tidak berpangkat tinggi seperti suami orang lain. Di manakah kita mahu mencari kesempurnaan dalam diri manusia kalau dia sendiri adalah makhluk yang diciptakan bukan pencipta?
Baru-baru ini hati saya jadi begitu parah apabila teman baik saya sendiri tiba-tiba saja memberitahu mengenai berita penceraiannya. Menurut beliau rumah tangganya tidak dapat diselamatkan lagi dan dia sendiri memilih jalan untuk berpisah.
Saat mendengar berita itu, badan saya menggeletar. Lutut saya menjadi lemah sehingga saya terduduk dan tidak mampu berdiri. “Apa salah dia?” Saya benar-benar tidak puas hati dan menjadi sakit hati apabila melihat wajah selamba teman saya. “Dah boringlah. Dah menyampah!” katanya.
“Itu saja?” Saya meninggikan suara.
“Banyak lagi, tapi yang penting aku dah boring! Dah menyampah!”
Memang saya amat marah dengan tindakan rakan saya. Walaupun saya tahu saya tidak mempunyai hak untuk mencampuri urusan perkahwinannya namun saya tidak boleh menerima alasan dan tindakannya. Tambah-tambah lagi apabila saya mengenang tiga orang anaknya yang masih kecil dengan yang bongsu baru hendak pandai merangkak!
“Budak-budak macam mana?” Saya mengutarakan persoalan sengaja meletak kebimbangannya.
“Ala…bukan tak boleh hidup. Tak ada bapak pun boleh hidup!,” katanya selamba.
Saya hiba sepanjang memandu pulang ke rumah. Entah apalah kesalahan suaminya hingga teman saya sanggup meminta cerai dengan cara yang begitu memalukan dan tragis sekali. Saya teringat-ingat suaminya yang begitu berhemah, penyabar dan sangat-sangat menyayangi anakanak. Kekurangan beliau yang jelas di mata saya cuma satu – dia tidak berpangkat besar, berkereta kecil dan tidak hidup mewah.
Saya tahu, hakikatnya rakan saya tidak tertahan lagi untuk terus hidup bersederhana. Sepanjang mengenali dirinya saya faham dia mempunyai pelbagai impian. Malangnya impian-impian dan selera-seleranya tidak dapat dipenuhi oleh suaminya sehingga akhirnya menimbulkan ungkit mengungkit, tidak puas hati dan langsung bercerai.
Bagi saya, teman saya ini bukan hanya mementingkan diri sendiri tetapi mengharapkan yang bukan-bukan dari suami. Terlalu sangat dia mengharapkan suaminya bertukar menjadi seorang yang sempurna serba-serbi, bijak, kaya, banyak harta, segalanya. Impian untuk mendapatkan kesempurnaan daripada suami ini ternyata memerangkap diri sendiri sehingga akhirnya sanggup mengorbankan kebahagiaan anak-anak yang kini hidup tanpa ayah di sisi.
“Tak bolehkah kau sabar sikit?” saya menyuarakan pertanyaan berkenaan perceraiannya satu hari.
“Aku dah lama bersabar. Aku berkahwin sebab nak bahagia, bukan derita..” katanya. Saya maklum. Seperti saya juga dahulu, konsep perkahwinan sebagaimana yang difahami oleh rakan saya – perkahwinan adalah kebahagiaan. Bahawa perkahwinan adalah destinasi untuk mengecap kebahagiaan.
Walhal perkahwinan itu tidak lebih daripada satu persinggahan dan perjalanan panjang yang penuh dengan lorong-lorong beranjau. Kita sememangnya perlu melalui lorong-lorong ini dengan penuh bijaksana dan berhati-hati untuk memastikan kebahagiaan yang kita kecapi nanti adalah kebahagiaan yang hakiki
(17712)





.:.

No comments:

Post a Comment