Saturday, December 31, 2016

'Dulu Orang Panggil Saya Tapir, Gemuk Dan Masam' - Ridwan Mustafa


Bertubuh gempal sejak kecil bukanlah menjadi faktor penghalang untuk lelaki ini memasang impian untuk berjaya dalam bidang yang diminatinya. Kisah perjalanan hidup Mohd Ridwan Mustafa sememangnya adalah kisah yang sangat luar biasa dan patut dijadikan inspirasi buat semua.


Mungkin ada di antara anda yang sudah familiar dengan wajah beliau. Mana taknya boleh dikatakan wajah beliau memang terpampang di setiap stesen minyak Shell di seluruh negara. Malah sehingga hari ini, Ridwan atau lebih mesra dipanggil Wan, telah menghiasi sebanyak 30 iklan jenama terkemuka. Namun, setiap kejayaan itu semestinya bermula dengan kegagalan, kepayahan dan ujian yang banyak.

Dibesarkan dalam keluarga yang sederhana, Wan sesekali tidak menyalahkan faktor genetik yang menyebabkan dirinya menjadi gemuk. Baginya, itu semua adalah faktor lifestyle setiap individu tersebut yang mana pasti mampu diubah mereka walaupun kebanyakan ahli keluarganya bertubuh besar. Anak kelahiran Felda Kerteh, Terengganu ini juga memberitahu beliau sejak kecil lagi telah menerima macam-macam gelaran negatif daripada rakan-rakannya.

"Saya sememangnya bertubuh besar sejak kanak-kanak sehinggalah dewasa. Saya ingat lagi sewaktu saya kanak-kanak, ramai kawan-kawan memanggil saya gemuk, masam dan yang paling saya tak boleh lupa mereka panggil saya tapir kerana hidung saya yang mancung," katanya. 

Menurutnya lagi, beliau menjadi obes disebabkan pemakanan yang tidak seimbang dan kurangnya kesedaran mengenai kesihatan. Sudah menjadi kebiasaan masyarakat Melayu termasuk beliau menggemari makanan yang mengandungi santan dan berkolestrol tinggi seperti gulai lemak, nasi dagang dan sebagainya.

Bagaimanapun, ejekan-ejekan tersebut tidak mematahkan semangat beliau untuk terus mara ke hadapan. Ridwan berjaya menamatkan pengajian ijazah di Universiti Teknologi Malaysia dalam bidang kejuruteraan.
Bukan itu sahaja, semasa beliau di UTM, Ridwan mewakili universiti untuk pertandingan debat antarabangsa selama empat tahun berturut-turut!

Namun, akhirnya pada 8 Oktober 2010, sewaktu berusia 23 tahun, Wan diberitahu doktor bahawa beliau mempunyai penyakit darah tinggi.
Ketika itu berat badan beliau mencecah 120 kg dan beliau diberi dua pilihan sama ada untuk bergantung pada ubat-ubatan atau mula untuk menurunkan berat badan.


Ridwan mengambil keputusan untuk berubah. Sejak itu beliau mula konsisten menurunkan berat badan. Seperti yang diceritakan beliau sebelum ini di laman Instagram, keesokan harinya beliau terus ke gim pejabat dan meminta jurulatih kecergasan memberi bimbingan. Pada hari pertama beliau telah dikerah berlari anak di atas treadmill dengan jarak 5 kilometer selama 40 minit.

Sejak itu beliau terus mengejar matlamatnya dan tidak sesekali akan toleh ke belakang. Katanya lagi, ia bukannya satu perjalanan yang mudah buat dirinya. Banyak yang perlu beliau lalui termasuklah kata-kata orang yang cuba mematahkan semangatnya. 

"Pernah sekali saya lepak dengan kawan-kawan di mamak. Mereka order mee goreng mamak dan saya hanya order air suam. Mereka pelik kenapa saya tak mahu makan dan setelah saya beritahu sebabnya, mereka menyuruh saya untuk tidak berdiet kerana saya pasti tidak akan kurus," ceritanya lagi.

Antara perkara lucu yang beliau alami selepas menurutkan berat badan ialah keluarga turut terperanjat dengan perubahan beliau. "Masa tu saya memang dah lama tak balik kampung. Ada sekali tu saya balik kampung, mak saya terkejut melihat perubahan yang ketara pada tubuh. Siap tanya lagi kau ni ambil dadah ke Wan?" ceritanya sambil ketawa.

"Bila dah macam ni, ada seorang tegur saya dan kata pada saya yang I have the look dan saya patut cuba modeling and commercial. Katanya senyuman saya menawan. Ke mana saja saya pergi semua orang mengatakan benda yang sama dan ramai menyangkakan saya seorang model," katanya lagi.


Tetapi bagi seorang yang tidak mempunyai pengalaman dan berlatarbelakangkan seorang jurutera, ia pada mulanya agak susah untuk beliau mencari jalan menceburi bidang tersebut.
Perkara pertama yang beliau lakukan adalah dengan meng-google 'How to be a commercial model?'
"Saya memang kurang pendedahan mengenai dunia peragaan sebab latar belakang saya juga adalah seorang engineer. Satu hari tu saya cuba google 'How to be a commercial model?' dan dari situlah saya mula pergi casting dan join beberapa modelling agency," ceritanya sambil tersenyum.

Beliau mula aktif dalam dunia modelling pada tahun 2013 walaupun pada awal-awal penglibatannya ada yang bercakap, "Ridwan, kau jangan berangan la, muka kau berjerawat!". Namun, ternyata Ridwan telah membuktikan bahawa rakan-rakannya itu salah.


Untuk memastikan bentuk tubuhnya kekal cantik dan sihat, Ridwan perlu bangun seawal 5 pagi setiap hari. Beliau akan berlari selepas waktu subuh setiap hari dan mengambil sarapan pada jam 9.30 pagi. Pada sebelah petang beliau akan memastikan supaya jadual beliau tidak diganggu antara jam 5.30 pm - 7.30 pm kerana itu adalah waktu gym session beliau.


Kata orang hidup ini seperti di atas roda. Kadangkala kita berada di atas dan kadangkala kita berada di bawah. Pernah pada tahun 2014 setelah mencuba lebih 20 casting, beliau tetap tidak mendapat sebarang tawaran model.
"Saya sendiri pelik kenapa dalam banyak-banyak casting saya pergi, satu pun saya tak dapat. Masa tu saya rasa dah nak give up," cerita Ridwan teringat kembali zaman kejatuhannya. 

Disebabkan itu, beliau mengambil keputusan untuk berniaga di pasar malam bersama rakan serumahnya. Dia menjual barangan-barangan dari negara China dan berniaga selama sebulan hanya untuk mencari duit tambahan.

"Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan." Akhirnya, Ridwan berjaya mendapatkan job terbesar pertama pada tahun 2015 bersama MILO.


"Ketika pertama kali saya mendengar tentang casting tu, mereka kata bahawa saya mungkin perlu untuk bermain bola sepak dan sejujurnya saya jarang bermain bola sepak. Jadi, pada mulanya saya agak ragu-ragu mengenainya. Tetapi apabila saya pergi casting, saya menyedari bahawa saya hanya perlu buat regangan dan beberapa teknik senaman lain," kata Ridwan.

Selepas sahaja menjadi wajah MILO, kerjaya modeling Ridwan semakin baik. Beliau sangat laku dan kini beliau mempunyai kontrak dengan jenama besar termasuk Shell dan Darlie. Boleh dikatakan wajah beliau kini berada di mana-mana sahaja!

Ridwan akhirnya mengambil keputusan untuk berhenti kerja pada April lalu. Beliau ingin memberi fokus lebih terhadap bisnes consultation dan kariernya sebagai model.
Pengalaman sebagai pendebat dan pernah bekerja dengan agensi komunikasi pada awal kerjayanya dulu cukup membantu dirinya sebagai seorang consultant. Dari segi grooming, Ridwan percaya bahawa kerjayanya sebagai model telah memberikan beliau kelebihan untuk mendidik orang ramai mengenai imej dan ketrampilan.

Buat masa ini, Ridwan juga telah mengeluarkan produk makanan beliau sendiri iaitu 'Dwan Cookies' yang dikatakan sesuai dijadikan snek buat mereka yang mementingkan kesihatan.

Ketika waktu lapang, beliau lebih suka meluangkan masa bersama rakan-rakannya dan berkongsi mengenai cerita kehidupan masing-masing. Ridwan juga telah menyertai larian dalam beberapa maraton utama di seluruh dunia termasuk di Sydney dan Tokyo




Apabila ditanya siapakah yang sering memberi sokongan terhadap dirinya sehingga berjaya seperti sekarang, beliau menjawab strangers dan followers adalah penyokong kuat beliau
"Strangers dan followers adalah penyokong utama saya selain keluarga dan kawan-kawan. Setiap hari, saya baca komen mereka di Instagram, mereka beri semangat kepada saya untuk terus ke depan.

"Jika anda tidak percaya pada diri sendiri, jadi tiada siapa yang akan percaya pada anda. Keyakinan anda perlu 100%, jika tidak, tidak kira apa pun perkara baik yang orang katakan tentang anda, anda tidak akan mempercayainya. The sky has no limit, anda boleh lakukan apa yang anda mahukan," akhiri Ridwan.














.:.

No comments:

Post a Comment